KUCHING: Sebanyak 557 unit lampu LED solar dikenal pasti untuk pemasangan di sepanjang laluan dari Simpang Pan Borneo ke Pekan Kabong .
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, pemasangan itu melibatkan jarak sejauh kira-kira 37.7 kilometer (km), dengan anggaran kos RM3.62 juta.
Menurutnya, cadangan itu bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
“Sebanyak 700 unit lampu LED solar dipasang dari Simpang Roban hingga ke Pasar Kabong menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) pada tahun lalu.
“Pemasangan lampu dilaksanakan pada jarak sela 30 meter (m) di kawasan selekoh dan 60m di jalan lurus bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato Mohamad Chee Kadir (GPS – Kabong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aidel berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut mengambil langkah meningkatkan keselamatan Jalan Pesisir.
Langkah tersebut ujarnya melalui pemasangan lampu amaran berkelip, pemantul cahaya jalan, papan tanda dan garisan jalan.
