Hab Persatuan Usahawan SYStartUp himpunkan usahawan muda

KUCHING: Hab Persatuan Usahawan SYStartUp Sarawak menjadi pusat pertemuan usahawan muda bagi mendapatkan maklumat dan bimbingan keusahawanan daripada kerajaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Hab Persatuan Usahawan yang pertama itu diwujudkan di Jalan Kulas sebagai pusat sehenti untuk menghimpunkan usahawan muda serta peserta program keusahawanan kementerian.

“Keutamaan kita bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi mendidik usahawan muda supaya mempunyai jati diri, berdisiplin dan mampu mengurus perniagaan dengan baik,” katanya semasa ditemui media selepas Majlis Perasmian Hab Persatuan Usahawan SYStartUp Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, hab berkenaan turut berfungsi sebagai tempat menghimpunkan data bakal usahawan yang menyertai program kementerian selain menjadi ruang untuk mereka bertemu dan berkongsi maklumat.

Katanya, kerajaan juga berusaha membantu usahawan muda melalui skim dana serta kerjasama dengan syarikat yang telah berjaya.

“Dana dan kemudahan pinjaman memang ada termasuk melalui kerjasama dengan Bank Affin bagi membantu usahawan muda mendapatkan geran atau pinjaman untuk memulakan perniagaan,” tambahnya.

Abdul Karim berkata, penyertaan dalam program keusahawanan kementerian dapat membantu meningkatkan keyakinan institusi kewangan terhadap usahawan muda yang masih kurang pengalaman.

Menurutnya, hab itu berpotensi dibuka di zon bagi memudahkan lebih ramai peserta program bertemu dan mendapatkan maklumat berkaitan bantuan kerajaan. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI