KUCHING: Sarawak memohon pembinaan dua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, ia bagi memperluaskan kapasiti rawatan dan pemulihan penagih dadah.
Ini susulan 8,965 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah direkodkan di negeri ini setakat September lalu.
Katanya, cadangan itu mengambil kira keperluan memperluaskan kemudahan pemulihan memandangkan Sarawak ketika ini hanya mempunyai sebuah PUSPEN dengan kapasiti 300 klien pada satu-satu masa.
“Jumlah ini dibandingkan dengan jumlah tangkapan melibatkan penyalahgunaan dadah di Sarawak setakat September 2026 iaitu seramai 8,965 tangkapan.
“Cadangan PUSPEN baharu itu dibina di Zon Tengah atau Utara Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Yakub Arbi (GPS-Balingian) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat 30 September lalu, seramai 103 klien menjalani rawatan dan pemulihan di bawah seliaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Mukah. – UKAS
