ADUN Tellian harap peruntukan tahunan RTP ditingkatkan

KUCHING: Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Lembaga Pembangunan Delta Rajang
(RADDA) memberi impak kepada kemajuan bandar Mukah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, RTP menjadi antara instrumen penting dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Peruntukan tahunan projek RTP diharap dapat ditingkatkan terutamanya kawasan luar bandar dan pedalaman yang paling banyak memperoleh manfaat,” katanya semasa membahas Bajet 2027 pada persidangan DUN di sini hari ini.

Royston berkata, bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 120 projek bina baharu dan naik taraf telah dan sedang dilaksanakan di bawah RTP melibatkan kos sebanyak RM25 juta.

Antara projek terbabit (47 projek) ialah jalan akses dan dataran Kejat bernilai RM9.4 juta, titian, jambatan, jeti dan pontoon (35 projek bernilai RM8.1 juta) dan bangunan dan kemudahan komuniti (15 projek bernilai RM4.9 juta), katanya.

Beliau berkata, manakala empat projek RADDA bernilai RM98 juta melibatkan projek pengawalan hakisan pantai Petanak, pembinaan Anjung Ria Senaga Mukah, pembinaan Medan Selera Kala Dana Mukah serta pembinaan Pasar Bersepadu Baharu Mukah.

Apabila semua projek itu siap, beliau percaya, landskap kemajuan di Mukah akan berubah sebagai daya tarikan pelancongan dan merancakkan ekonomi.

Projek pengawalan hakisan Pantai Petanak berpotensi melindungi kawasan pesisir serta memelihara persekitaran pantai sebagai aset masyarakat dan tarikan pengunjung, tegas beliau.

Anjung Ria Senaga Mukah pula berpotensi menjadi ruang kegiatan masyarakat, rekreasi dan acara kebudayaan yang menonjolkan keunikan warisan tempatan, katanya.

Beliau menambah, Medan Selera Kala Dana Mukah akan memperkasakan pelaksanaan Pesta Kaul di samping mempromosikan adat budaya kaum Melanau.

Manakala, Pasar Bersepadu Baharu Mukah, berpotensi memperluaskan ruang pemasaran hasil pertanian, perikanan serta produk usahawan tempatan.

“Kemudahan ini dihubungkan melalui promosi pelancongan yang tersusun untuk mendorong pelawat meluangkan masa lebih lama dan berbelanja lebih banyak di Mukah,” katanya.