Tubuhkan agensi khas percepatkan projek RTP

KUCHING: Kerajaan Sarawak disaran menubuhkan agensi khas bagi mempercepatkan pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat dengan lebih berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, agensi itu perlu mengurus proses tender, penyerahan tapak dan pemantauan projek bagi mengurangkan birokrasi serta mempercepatkan penyiapan kerja.

Selain itu, beliau turut mencadangkan syarat pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan diwajibkan bagi pelaburan baharu.

“Ini penting supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat.

“Saya turut mengusulkan latihan dan pensijilan dalam bidang pengauditan karbon serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi institusi tempatan seperti CENTEXS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau turut mencadangkan bantuan lesen memandu bersubsidi kepada golongan B40 bagi meningkatkan peluang pekerjaan.

Menyentuh pembangunan Stakan, beliau menghargai pelaksanaan projek tebatan banjir Taman Samarindah serta pembinaan dua tangki air aras tinggi.

Selain itu, katanya, naik taraf perparitan menerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) serta pembangunan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) berasaskan Transit Aliran Autonomi (ART) turut dihargai.

“Saya harap, perkembangan terkini Skim Penempatan Kampung (SPK) Stakan dimaklumkan kepada penduduk.

“Saya turut mengesyorkan pengukuhan mekanisme cagaran jalan bagi memastikan pemaju swasta bertanggungjawab membaiki kerosakan jalan akibat aktiviti pembinaan,” katanya.