Kebebasan bersuara di DUN perlu disiplin, tanggungjawab

KUCHING: Kebebasan bersuara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu disertai tanggungjawab, disiplin dan kejujuran bagi memastikan setiap tuduhan yang dibuat berasaskan fakta serta bukti yang boleh dipertanggungjawabkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, hak untuk mengkritik kerajaan tidak bermaksud seseorang Ahli Dewan bebas membuat tuduhan tanpa bukti atau menggunakan bahasa yang menghina.

Beliau mengakui pembangkang memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pentadbiran kerajaan menerusi teguran, cadangan dan penelitian terhadap dasar awam.

“Namun begitu, kita perlu memahami bahawa hak untuk mengkritik tidak bermaksud hak untuk menuduh tanpa bukti. Kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghina dan keistimewaan sebagai Ahli Dewan bukan kekebalan daripada Peraturan Mesyuarat,” katanya dalam perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap Ahli Dewan yang diberikan mandat oleh rakyat bertanggungjawab memastikan maklumat disampaikan tepat, benar.

Katanya, tuduhan tidak berasas boleh mencemarkan reputasi seseorang, menjejaskan keyakinan masyarakat dan mewujudkan persepsi salah yang berpanjangan walaupun penjelasan diberikan kemudian.

“Sehubungan itu, dakwaan berkaitan penggunaan maklumat tidak dapat disahkan, bahasa menghina dan motif tidak wajar terhadap Ahli Dewan lain perlu dinilai berdasarkan rekod serta bukti yang tersedia,” ujarnya.

Allan berkata, Sarawak perlu membina budaya politik matang yang berasaskan fakta, menghormati perbezaan pendapat dan tidak menjadikan serangan peribadi sebagai pengganti kepada hujah berkualiti.