KUCHING: Pembangunan infrastruktur luar bandar, pemodenan pertanian dan perdagangan rentas sempadan antara keutamaan pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, keperluan asas seperti jalan raya kampung, bekalan air bersih, elektrik dan capaian internet penting bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Pembangunan infrastruktur luar bandar membuka laluan kepada pendidikan, kesihatan, pasaran dan peluang ekonomi untuk rakyat Tebedu,” katanya dalam perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sektor pertanian antara sumber pendapatan utama penduduk Tebedu memerlukan sokongan dari segi kemudahan jalan pertanian, teknologi moden, akses pasaran dan pemprosesan hasil bagi meningkatkan pendapatan petani.
“Keutamaan kita bukan sekadar meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, tetapi memastikan petani memperoleh pendapatan lebih tinggi dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” tambahnya.
Menurutnya, kedudukan Tebedu di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat turut membuka peluang dalam perdagangan rentas sempadan, logistik dan pemasaran hasil pertanian yang mampu menjana pekerjaan serta merancakkan perniagaan tempatan.
