Pengedar dadah perlu dibanteras peringkat atasan

KUCHING: Tindakan tegas terhadap pembekal dan pengedar utama dadah perlu dipertingkatkan bagi membendung penularan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik seperti ‘piu-piu’, ‘mushroom’ serta bahan psikoaktif baharu (NPS) semakin membimbangkan dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan lebih berkesan.

Katanya, kegiatan pengedaran dan penjualan dadah kini turut menggunakan platform media sosial, selain perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan syarikat kurier sebagai saluran penghantaran.

“Pembekal dan tokan dadah wajib dicantas di peringkat atasan, penagih harus terus diberi ruang pemulihan.

“Generasi muda pula mesti didedahkan dengan kesedaran penyalahgunaan dadah di peringkat awal bermula di bangku sekolah secara lebih proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027, 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Royston berkata, kerajaan perlu memikirkan kaedah baharu yang lebih realistik dan berkesan bagi menangani ancaman penyalahgunaan dadah yang semakin kompleks.

Katanya, usaha itu perlu merangkumi penguatkuasaan terhadap rangkaian pengedaran dadah, pendidikan pencegahan secara berterusan serta akses kepada rawatan dan pemulihan bagi individu terlibat.

“Kita tidak boleh membiarkan ancaman ini terus merosakkan masa depan anak-anak Sarawak. Rakyat memerlukan komitmen yang jelas, tindakan yang terselaras dan hasil tindakan yang meyakinkan,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan kegiatan perjudian dalam talian yang didakwanya semakin berleluasa, termasuk premis tambah nilai perjudian yang berselindung di sebalik operasi kedai runcit 24 jam.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap premis yang terbukti menjalankan kegiatan perjudian dalam talian, termasuk pembatalan lesen perniagaan.

Royston turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempergiatkan tindakan terhadap penyalahgunaan dadah.

Manakala katanya, Pejabat Daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya terhadap premis yang menyalahgunakan lesen perniagaan bagi kegiatan perjudian dalam talian.