KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor membangkitkan beberapa isu pembangunan utama yang memerlukan perhatian segera Kerajaan Sarawak.
Antaranya, industri padi, hakisan sungai, bekalan air dan kebersihan awam.
Semasa berucap dalam perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini, beliau berkata komitmen RM1 bilion bagi transformasi industri padi Sarawak merupakan langkah penting untuk memperkukuhkan keselamatan makanan negeri.
“Inisiatif melibatkan 14,000 hektar itu turut disokong peruntukan RM20.47 juta pada 2027, dengan sasaran mencapai tahap sara diri beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, kawasan Batang Lupar mempunyai sejarah dan potensi besar dalam penanaman padi, justeru penyelarasan antara Kerajaan Sarawak, agensi Persekutuan dan IADA Batang Lupar perlu diperkukuhkan.
Beliau menegaskan pembangunan industri padi mesti memberi manfaat langsung kepada pesawah melalui kemudahan pengairan, saliran, jalan ladang, benih berkualiti, jentera dan akses modal.
Dalam isu keselamatan infrastruktur, beliau turut memberi amaran mengenai ancaman hakisan Sungai Batang Lupar terhadap jalan utama sepanjang 31.3 kilometer (km) dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga.
Katanya, kawasan KM4.2 amat membimbangkan apabila jarak antara sungai dengan jalan dianggarkan hanya 10 hingga 15 meter (m).
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan perlindungan tebing sungai sepanjang kira-kira dua (km) serta pembinaan jalan alternatif baharu bagi penyelesaian jangka panjang.
Dayang Noorazah turut meminta perkembangan jelas mengenai projek perlindungan hakisan pantai di Tanjung Riong, Maludam, termasuk tarikh mula kerja, jadual pelaksanaan dan tarikh siap projek.
Dalam pada itu, beliau menggesa sistem bekalan air di Daerah Lingga diperkukuh bagi menghadapi kemarau, fenomena El Niño dan gangguan operasi loji rawatan air.
Beliau membangkitkan semula cadangan menjadikan Sungai Parit, di seberang Jambatan Lingga-Sebuyau, sebagai sumber air alternatif yang perlu dikaji oleh kementerian berkaitan dan JBALB Sarawak.
Selain itu, beliau meminta status tanah perkuburan Islam lama dan baharu di Triso diselesaikan melalui proses pewartaan yang teratur bagi menjamin kepentingan masyarakat.
