Royston cadang tubuhkan DUN Belia Sarawak lahir pemimpin pelapis

KUCHING: Penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Sarawak dicadangkan sebagai platform rasmi untuk memperkasakan suara generasi muda dalam pembangunan negeri, selain melahirkan barisan pemimpin pelapis pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, platform itu penting bagi memberi peluang kepada golongan belia menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan serta terlibat secara aktif dalam proses pembentukan dasar pembangunan Sarawak.

Katanya, keluasan geografi Sarawak serta kepelbagaian masyarakat memerlukan saluran khusus yang mampu menghimpunkan suara belia dari kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Tellian mencadangkan penubuhan DUN Belia Sarawak sebagai wadah rasmi untuk anak muda menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan menjadi platform penting dalam mempersiapkan pemimpin pelapis pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027, 2026 pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Royston berkata, pelaksanaan DUN Belia Sarawak boleh berpandukan konsep Parlimen Belia Malaysia serta model parlimen belia yang diamalkan di beberapa negara, termasuk United Kingdom, New Zealand, Australia dan Ireland.

Katanya, model antarabangsa seperti Parlimen Belia Komanwel dan Parlimen Belia Eropah boleh dijadikan rujukan dalam merangka pelaksanaan platform berkenaan.

Beliau yakin penubuhan DUN Belia Sarawak mampu menjadi medan latihan kepimpinan yang berkesan, memupuk perpaduan dalam kalangan belia serta menghasilkan cadangan praktikal berkaitan pembangunan negeri.

Bagaimanapun, Royston menegaskan bahawa setiap usul yang dibentangkan menerusi platform itu tidak seharusnya terhenti pada peringkat perbahasan semata-mata, sebaliknya perlu disalurkan kepada kementerian atau agensi berkaitan untuk penelitian, maklum balas dan tindakan susulan yang jelas.

“Bagi memastikan keberkesanannya, setiap usul yang dibentangkan dalam DUN Belia hendaklah disalurkan kepada agensi berkaitan dengan maklum balas dan pemantauan tindakan susulan yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu akan membolehkan golongan muda memainkan peranan lebih bermakna sebagai rakan kerajaan dalam merancang masa depan Sarawak.

Di samping itu, turut melahirkan generasi pemimpin yang memahami keperluan masyarakat serta cabaran pembangunan negeri.