KUCHING: Sebanyak 187 projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bernilai RM150 juta diluluskan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata sebanyak 42 projek terbabit telah siap, 72 projek sedang dilaksanakan, sebanyak 66 lagi masih dalam perancangan dan proses perolehan tender, manakala tujuh projek lagi belum dimulakan.
“Projek-projek tersebut merangkumi 16 projek penurapan jalan kampung bernilai RM33 juta; 53 jalan pertanian bernilai RM31 juta; 50 sistem bekalan air paip graviti dan tiga projek sambungan air terawat bernilai RM22.24 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Billy berkata, seterusnya ialah projek 37 dewan masyarakat bernilai RM14.82 juta, tujuh projek menaik taraf sawah padi bernilai RM23 juta; pemasangan lampu jalan dalam kampung bernilai RM5 juta; serta pelbagai projek lain melibatkan jambatan, sekolah, gereja, bekalan elektrik dan kemudahan asas.
Sehubungan itu, beliau merakam penghargaan kepada Premier Sarawak, Kerajaan Sarawak, kementerian berkaitan dan semua agensi pelaksana atas projek terbabit dan berharap setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi, menepati jadual dan dipantau supaya tidak menjadi projek sakit.
