KUCHING: Kerajaan Sarawak menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada setiap keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, di sini, hari ini.
Majlis penyerahan dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan petugas yang terkorban dalam kejadian 8 September lalu.
Seramai lima waris menerima sumbangan berkenaan, iaitu Nor Izzati Syamimi Suhaimi, Larry Bilong Kule, Mohd Faiz Ab Malek, John Then Hua Ken dan Stephanie Essah Incham.
Mereka merupakan pasangan kepada lima mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut, iaitu Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, mendiang Jessie Paya Jok, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, mendiang Debra Moset dan mendiang Alexson Adit Henry.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki hadir sama.
Sumbangan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban keluarga mangsa, di samping memberikan sokongan kepada waris yang kehilangan insan tersayang.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Surat Penajaan Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha membantu menjamin kesinambungan pendidikan anak-anak mangsa.
Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka, kelima-lima mangsa turut disenaraikan sebagai penerima Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 10 Oktober 2026.
