KUCHING: Sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Ladang dan Perusahaan Nipah Bersepadu serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Gula Apong di Kampung Tambak, Pusa.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu melibatkan kawasan nipah seluas 14.6 hektar, termasuk 4.3 hektar yang ditanam secara ladang.
Menurutnya, pembinaan CPPC Gula Apong dijangka siap pada September 2027 berdasarkan tempoh kontrak selama 18 bulan bermula 16 Mac 2026.
“Pembangunan ini menerapkan konsep Taman Agro yang mengintegrasikan pengeluaran.
“Ia juga termasuk pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran bagi meningkatkan nilai ekonomi hasil pertanian tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato Razaili Gapor (GPS-Beting Maro) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM700,000 turut diperuntukkan di bawah BDDA bagi Projek Pembangunan Usahawan Sagu dan Nipah di Beting Maro untuk penyediaan mesin serta peralatan pemprosesan.
Selain itu, tambahnya, Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) melaksanakan program peningkatan produktiviti pekebun kecil nipah dengan peruntukan keseluruhan RM1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Program tersebut merangkumi penambahbaikan akses, bantuan peralatan, pemulihan kawasan dan latihan kepada pekebun kecil, termasuk di Beting Maro.
“Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pengeluaran, nilai tambah produk serta pendapatan masyarakat,” katanya.
