KUCHING: Pengaktifan semula Pos Lintas Sempadan Temajuk (Kalimantan) dan Pusat Kawalan Telok Melano menandakan lembaran baharu dalam hubungan rentas sempadan di dua negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, di sebalik kelebihan itu, wujud cabaran keselamatan mendesak yang tidak boleh dipandang ringan.
“Fasiliti kawalan sedia ada masih berskala kecil dan belum berkeupayaan memproses pasport antarabangsa secara penuh,”katanya semasa membahas Bajet 2027 Sarawak pada persidangan DUN di sini hari ini.
Beliau berkata, kedudukan geografi yang dikelilingi hutan tebal dan pesisir pantai panjang terdedah kepada kewujudan jalan tikus atau laluan laut yang tidak sah, katanya.
Ini katanya, membuka ruang kepada risiko pencerobohan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan barangan bersubsidi, barangan larangan mahupun ancaman jenayah rentas sempadan.
Justeru, beliau mencadangkan percepat pembinaan kompleks CIQS penuh, mengukuhkan rondaan bersepadau dan pendekatan peranan komuniti tempatan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.
Telok Melano dan Temajuk kini menjadi tarikan utama pelancongan pantai dan ekopelancongan dengan adanya akses secara terus, tegas beliau.
Menurut Azizul, akses terus ini membolehkan pelancong menikmati keindahan pantai serta keunikan biodiversiti di Taman Negara Tanjung Datu dan kawasan sekitarnya.
Ini memperkasakan pertumbuhan ekonomi melalui premis inap desa, perniagaan makanan dan perkhidmatan pemandu pelanong, katanya.
Menerusi Perjanjian Perdagangan Sempadan, beliau berkata, penduduk di kedua-dua buah wilayah dapat saling melengkapi bekalan dagangan keperluan, hasil pertanian dan hasil laut pada kos logistik yang lebih berpatutan.
Penduduk Telok Melano dan Temajuk yang berkongsi salasiah kekeluargaan dan warisan budaya sama, kemudahan pergerakan berasaskan Pas Lintas Batas memupuk semangat jiran serantau, tambahnya.
