LIMBANG: Kerajaan Sarawak diharap dapat memperuntukkan dana bagi membaiki dan menaik taraf jalan balak lama di kawasan Batu Danau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata, ia menjadi laluan penghubung kepada 11 kampung Penan di Ulu Limbang, berikutan keadaan semakin daif dan sukar dilalui kenderaan.
Katanya, kerosakan jalan berkenaan menjejaskan kehidupan penduduk, terutama dari segi akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan bekalan keperluan harian.
“Sebahagian laluan itu tidak lagi dapat digunakan dengan baik selepas sekian lama tidak diselenggara, sejak syarikat pembalakan yang beroperasi di kawasan berkenaan menghentikan kegiatan mereka.
“Antara kampung yang memerlukan perhatian ialah Kampung Kartadem, Long Sebayang, Long Tegan, Kapon Panjang, Long Sulung, Panjang Rayeh, Long Keneng, Panjang Persek, Long Adang, Long Gita dan Ba Nyakit,” katanya dalam perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas peruntukan RM700 juta melalui pembiayaan alternatif bagi meneruskan pelaksanaan Lebuh raya Pesisir Utara dengan laluan merentasi Tedungan dan beberapa penempatan lain di kawasan DUN Batu Danau.
“Saya menyambut baik pembinaan jalan raya berkembar yang menghubungkan Nanga Medamit dengan Kampung Pulau Brunei menerusi pembiayaan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
“Ia dijangka menjadi penghubung kepada projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah 2 (SSLR2),” katanya.
Selain itu, sebanyak RM742 juta diperuntukkan bagi pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh Sarawak pada tahun hadapan, manakala lebih RM2.27 bilion disediakan melalui pembiayaan alternatif untuk beberapa projek utama rangkaian pengangkutan.
