Kejayaan Belanjawan Sarawak 2027 perlu diukur melalui manfaat kepada rakyat

KUCHING: Kejayaan sebenar Belanjawan Sarawak 2027 bukan hanya terletak pada jumlah hasil dan peruntukan besar, sebaliknya sejauh mana ia mampu membawa manfaat kepada kehidupan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, setiap peruntukan kerajaan perlu diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek kos sara hidup, pendidikan dan peluang ekonomi.

“Kejayaan sebenar bukan apabila kerajaan mempunyai banyak wang. Kejayaan sebenar ialah apabila wang itu akhirnya membawa manfaat kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, unjuran hasil negeri sebanyak RM15.091 bilion dengan lebihan belanjawan RM246 juta membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat.

Katanya, peruntukan RM650 juta bagi meneruskan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada tahun depan antara langkah membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, inisiatif pendidikan seperti Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), bantuan wang saku RM1,200 setahun kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang layak serta Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) turut mencerminkan komitmen kerajaan terhadap masa depan generasi muda.

Fazzrudin berkata, pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan jambatan bukan sekadar meningkatkan jaringan perhubungan, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat, khususnya di luar bandar.

“Kita bukan sekadar membina jambatan merentasi sungai. Kita sedang membina jambatan daripada keterasingan kepada peluang ekonomi,” katanya.

Beliau turut menyifatkan AirBorneo sebagai ‘jambatan di udara’ yang berperanan memperkukuhkan hubungan Sarawak dengan dunia luar, sekali gus merancakkan sektor pelancongan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada keuntungan syarikat penerbangan semata-mata, sebaliknya manfaat ekonomi secara keseluruhan kepada Sarawak,” tambahnya.