Stesen minyak PETROS, bekalan air antara keutamaan Kabong

KUCHING: Gangguan bekalan air di DUN Kabong baru-baru ini berpunca daripada kekurangan air mentah akibat kemarau berpanjangan, bukannya keupayaan Loji Rawatan Air (LRA) Lichok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, LRA Lichok sebenarnya mempunyai kapasiti pemprosesan 25 juta liter sehari (MLD) yang mencukupi untuk penduduk Kabong dan kawasan sekitar.

Sehubungan itu, beliau mengulangi cadangan agar pihak kementerian dan agensi teknikal menjalankan kajian menaikkan paras ‘weir’ bagi mengekalkan aras air serta meningkatkan simpanan air mentah LRA Lichok.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada penghantaran air menggunakan lori tangki setiap kali berlaku gangguan.

“Kaedah itu sekadar membantu sementara dan tidak menyelesaikan punca sebenar,” katanya semasa membahas Bajet 2027 Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau memohon penjelasan kementerian mengenai status kajian teknikal paras ‘weir’, langkah konkrit jangka panjang serta garis masa pelaksanaan projek penyelesaian berkenaan.

Mengulas lanjut, Chee Kadir menegaskan pembangunan Kabong perlu merangkumi pengukuhan ekonomi dan peluang pekerjaan, merangkumi bantuan agropertanian, sokongan pekebun kecil nipah, serta bimbingan usahawan.

Inisiatif meringankan kos sara hidup seperti diskaun bil elektrik, program air percuma, dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) juga digesa untuk terus dimanfaatkan oleh rakyat yang layak.

Bagi sektor pelancongan, beliau mencadangkan naik taraf Pantai Tanjung Kembang melalui pembangunan medan selera dan kemudahan homestay demi merancakkan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan status pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Ulu Roban yang telah diluluskan beberapa tahun lalu serta Projek Bekalan Air Kampung Gerigat.

Bagi memperkukuhkan struktur kepimpinan, Chee Kadir memohon kerajaan mempertimbangkan pewujudan jawatan Pemanca di DUN Kabong yang telah dinaik taraf sebagai daerah penuh sejak 11 tahun lalu.

Beliau mendesak Kerajaan Sarawak dan PETROS menyegerakan pembinaan stesen minyak PETROS di Pekan Kabong bagi memudah cara aktiviti harian penduduk, petani, serta nelayan.

“Saya berharap cadangan ini tidak berakhir sekadar perhatian di atas kertas. Kerajaan dan PETROS perlu memberikan maklum balas yang jelas serta tindakan susulan yang konkrit,” katanya.