KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mempergiatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pelbagai projek jalan raya, kemudahan komuniti dan perumahan rakyat dilaksanakan.
Menurutnya, antara pencapaian terbaharu ialah l projek naik taraf Jalan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini sudah siap yang kini dilengkapi jalan berkembar dan lampu isyarat bagi meningkatkan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna.
“Projek ini amat dinantikan penduduk merupakan perubahan besar kepada pembangunan infrastruktur jalan raya di Samariang.
“Dengan adanya jalan lebih baik, pergerakan harian penduduk kini lebih mudah, selesa dan selamat.
“Ini menunjukkan kerajaan kita (GPS) memang memberi perhatian kepada pembangunan infrastuktur termasuk di Samariang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian siap naik taraf Jalan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini, di Masjid Darul Khusnul Khatimah, di sini, malam ini.
Sharifah Hasidah turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) atas komitmen menjayakan projek berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan DUN Samariang terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan kira-kira RM5 juta setiap tahun.
Peruntukan tersebut katanya, digunakan bagi membina dan menaik taraf pelbagai kemudahan termasuk padang futsal, gelanggang pickleball, pusat komuniti, dewan, masjid serta surau.
“Dewan Taman Sukma juga telah siap dibina. Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Samariang Batu yang melibatkan cadangan pembinaan lebih 100 unit rumah bakal dilaksanakan,” jelasnya.
Tambahnya, majlis pecah tanah projek perumahan itu dijangka disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada bulan depan.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, DBKU bekerjasama dengan komuniti bagi menambah baik kemudahan awam dan infrastruktur perbandaran.
“Pembangunan bukan sekadar melaksanakan projek fizikal atau menyediakan kemudahan baharu.
“Sebaliknya, pembangunan bermakna apabila manfaatnya dapat dirasai rakyat dari segi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan kehidupan seharian,” katanya. -NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
