Bulan HASiL 1-31 Oktober ini, tingkatkan kesedaran pembayar cukai

KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung pematuhan cukai menerusi pelbagai program yang dianjurkan sepanjang Bulan HASiL dari 1 hingga 30 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, inisiatif memberi tumpuan kepada pendekatan turun padang mendekati pembayar cukai, menyampaikan maklumat percukaian serta membantu pembayar cukai memahami tanggungjawab masing-masing secara lebih jelas dan menyeluruh.

“Program yang dilaksanakan ialah sesi penerangan di lokasi awam termasuk pusat beli-belah, kawasan komuniti, universiti dan sekolah bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat serta berurusan dengan pihak Hasil,” kata pada Malam Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, malam ini.

Majlis tersebut sempena sambutan ke-30 HASiL.

Dr. Abu Tariq menjelaskan, inisiatif itu turut memberi penekanan kepada Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bagi e-Invois, yang membolehkan pihak terlibat membetulkan kesilapan berkaitan pelaksanaannya menerusi saluran yang disediakan.

“Inisiatif pengakuan sukarela turut melibatkan duti setem bagi memberi peluang kepada pihak yang mempunyai dokumen belum disetemkan untuk tampil menyelesaikan perkara berkenaan tanpa dikenakan penalti, selaras ketetapan program yang diumumkan,” tambahnya.

Dalam aspek cukai pendapatan, beliau berkata, HASiL turut menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sebelum tindakan audit atau siasatan dimulakan, dengan peluang menikmati kadar penalti lebih rendah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Usaha meningkatkan pematuhan turut diperkukuhkan melalui platform e-Plaintif, yang membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kemungkinan ketidakpatuhan cukai oleh individu atau syarikat untuk penelitian lanjut pihak HASIL.

Dalam pada itu, HASiL turut menganjurkan seminar percukaian terbuka kepada orang ramai bagi memberi penerangan mengenai Belanjawan 2027 serta inisiatif berkaitan percukaian yang diumumkan kerajaan.

Seminar pertama telah selesai dilaksanakan, manakala satu lagi seminar secara dalam talian dijadual berlangsung pada 21 Oktober ini bagi membolehkan lebih ramai pembayar cukai mendapatkan penjelasan.