30 agensi sertai Pesta Pendidikan Ziarah Mahabbah

SIBU: Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) selama dua hari di Kompleks Islam Sarawak Sibu menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan, kemahiran dan kebajikan untuk masyarakat Islam.

Pemangku Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Iskandar Allan berkata, program pada 17 dan 18 Oktober itu turut menampilkan pameran pesta pendidikan yang disertai 30 agensi kerajaan dan badan berkanun.

Beliau yang juga penyelaras bersama program berkenaan dengan Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS berkata, aktiviti lain yang dirancang termasuk Program Khas Wanita, Kursus Kemahiran Akademi Latihan Insan, aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sukaneka serta penyerahan bantuan.

“Program ini memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi di bawah Majlis Islam Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, kemuncak program esok ialah Sesi Townhall Pendidikan yang menampilkan tiga panel daripada Biro Perkhidmatan Pendidikan, TBS dan Yayasan Wakaf Sarawak.

Beliau berkata, sesi itu akan berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi berkenaan, sekali gus membantu masyarakat memahami kemudahan dan bantuan yang boleh dimanfaatkan.

Program itu turut dihadiri penduduk Bahagian Sibu serta beberapa wakil dari Bahagian Betong dan Sarikei.

Sehubungan itu, masyarakat Islam di Sibu dialu-alukan mengunjungi pameran dan menyertai aktiviti yang disediakan sepanjang program berlangsung, termasuk Sesi Townhall Pendidikan esok.