DARO: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab meluangkan masa meninjau keadaan Klinik Kesihatan Semop di sini, hari ini.
Beliau berkata, kemudahan sebuah ambulans menjadi keutamaan bagi membolehkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dihantar ke fasiliti kesihatan lain dengan lebih segera.
Katanya, klinik berkenaan turut memerlukan beberapa kelengkapan tambahan, termasuk penghawa dingin, tilam pesakit, peralatan makmal dan dapur memasak.
“Saya akan mendapatkan maklumat lengkap mengenai keperluan terbabit daripada pihak pengurusan klinik sebelum mengemukakannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Penyediaan kemudahan bersesuaian amat penting bagi memastikan penduduk luar bandar turut menikmati perkhidmatan kesihatan yang selesa dan berkualiti,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, beliau berkata tenaga kerja sedia ada secara keseluruhannya mencukupi, namun beberapa kekurangan masih perlu diteliti.
Lawatan itu dilakukan selepas beliau menghadiri program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) @ KKDW di Kampung Semop.
