PUSA: Jambatan Batang Saribas Dua sepanjang kira-kira 2.43 kilometer (km) dijangka dibuka kepada lalu lintas di sini, pada 5 Disember depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jambatan itu akan menjadi satu lagi kemudahan penting dalam memperkukuhkan perhubungan penduduk dan membuka ruang kegiatan ekonomi.
“Kita mahu kemudahan infrastruktur ini dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya dibacakan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika Majlis Perasmian Regata Tandang Sari 2026, Daerah Pusa di Dataran Tandang Sari, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, apabila hubungan antara kawasan semakin baik, hasil pertanian dan perikanan lebih mudah dipasarkan, perniagaan dapat berkembang dan lebih ramai pengunjung berpeluang datang ke Pusa.
Selain itu, beliau berkata Regata Tandang Sari berpotensi untuk menjadi salah satu tarikan pelancongan Pusa kepada pengunjung dari daerah lain dan luar Sarawak.
Katanya, acara seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mengetengahkan warisan, budaya dan identiti masyarakat.
“Saya berharap penganjuran regata ini dapat digabungkan dengan promosi makanan tradisional, hasil tempatan, kraftangan dan aktiviti kebudayaan,” katanya.
