Bubar DUN ambil kira tempoh penggal berakhir

KUCHING: Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan prerogatif Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini dengan mengambil kira kesesuaian masa sebelum tempoh penggal berakhir.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak, berkata, tempoh bagi mengadakan pilihan raya semakin singkat menjelang penghujung tahun.

“Jika DUN dibubarkan pada Disember, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pertandingan Penulisan DayakDaily dan Pelancaran Buku Cerita Rakyat Sarawak Edisi Pertama, di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses selepas pembubaran turut memerlukan masa bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat dan menetapkan tarikh pilihan raya serta tempoh berkempen.

“Saya menjangkakan pembubaran akan berlaku dalam masa terdekat kerana ruang masa semakin singkat.

“Namun, semuanya bergantung pada keputusan Premier Sarawak,” tambahnya.

Katanya, pilihan raya pada Januari atau Februari dilihat berdepan kekangan berikutan sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.