SARATOK: Umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan majlis khatam al-Quran sebagai noktah terakhir dalam pembelajaran agama, sebaliknya sebagai titik permulaan untuk terus mendalami kitab suci itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata al-Quran merupakan panduan hidup yang perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, ajaran al-Quran sentiasa relevan kerana merangkumi aspek akidah, ibadah, akhlak, kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat.
“Jangan berhenti setakat berjaya mengkhatamkan al-Quran. Teruskan membaca, memahami maknanya dan mengamalkan ajarannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Khatam al-Quran Bahagian Betong anjuran Unit Saudara Kita (USK) Cawangan Saratok 2026 di Masjid Al Muhtadin, hari ini.
Menyentuh mengenai saudara baharu, beliau berkata proses mendalami Islam adalah perjalanan berterusan dan tidak perlu berasa rendah diri jika masih mempelajari asas agama.
