KUCHING: Nilai kasih sayang dan belas ihsan terhadap haiwan perlu dipupuk sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap kebajikan haiwan, termasuk haiwan terbiar.
Anak kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penglibatan kanak-kanak dan keluarga dalam program berkaitan haiwan peliharaan mampu membentuk sikap bertanggungjawab serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan haiwan yang baik.
“Program ini turut menekankan kepentingan memastikan haiwan peliharaan menerima penjagaan yang baik, selamat dan sewajarnya, termasuk meningkatkan keprihatinan terhadap nasib haiwan terbiar,” katanya ketika merasmikan Furry Friends Fair 2026 di pusat beli-belah The Spring di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha memelihara kebajikan haiwan memerlukan kerjasama berterusan antara komuniti, pihak berkuasa, badan kebajikan haiwan dan sektor swasta bagi memastikan pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata, penganjuran Furry Friends Fair 2026 turut menyediakan ruang pameran haiwan peliharaan, jualan produk dan keperluan haiwan serta pelbagai aktiviti yang menggalakkan interaksi masyarakat.
Sehubungan itu, Dayang Norjihan berharap program berkenaan terus berkembang sebagai platform yang menyatukan komuniti pencinta haiwan di Sarawak, sekali gus memperkukuh budaya pemilikan haiwan secara bertanggungjawab, selain merakamkan penghargaan kepada JJ Pet Shop, The Spring Shopping Mall dan semua pihak yang menjayakannya.
