PUSA: Sebanyak 46 projek pembangunan bernilai RM205 juta sedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro bagi memperkukuhkan kemudahan infrastruktur dan merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu merangkumi kemudahan asas, pembangunan sosial, pemerkasaan wanita, pertanian makanan, keusahawanan, utiliti dan pelancongan.
“Kerajaan Sarawak turut menyediakan kira-kira RM10.098 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Belanjawan 2027, dengan RM6.4 bilion dikhususkan untuk pembangunan luar bandar,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika merasmikan Regata Tandang Sari 2026 di Dataran Tandang Sari, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Jambatan Batang Saribas Dua sepanjang 2.43 kilometer (km) yang dijadual dibuka pada 5 Disember depan bakal melancarkan pergerakan penduduk, selain memudahkan urusan perdagangan serta pengangkutan hasil pertanian dan perikanan.
Beliau turut menyifatkan Regata Tandang Sari sebagai platform memelihara warisan budaya dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat.
Selain itu, ia berpotensi menarik pelancong serta menjana pendapatan peniaga tempatan, seiring aspirasi Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
