Ketengahkan tradisi etnik menerusi cerita rakyat Sarawak

KUCHING: Penerbitan Buku Cerita Rakyat Sarawak Edisi Pertama menjadi usaha mengangkat cerita rakyat dan tradisi pelbagai etnik Sarawak kepada masyarakat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sokongan terhadap penulis tempatan penting bagi melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang penulisan.

“Sarawak mempunyai pelbagai cerita rakyat daripada masyarakat berbilang etnik yang boleh diterbitkan sebagai bahan bacaan, dokumentari dan karya kreatif untuk menarik minat masyarakat mengenali warisan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Penulisan DayakDaily dan Pelancaran Buku Cerita Rakyat Sarawak Edisi Pertama, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut beliau berkata, aspirasi Miri untuk diiktiraf sebagai Bandar Kesusasteraan Kreatif UNESCO menjelang 2027 memerlukan usaha bersama dalam mengetengahkan karya dan cerita tempatan.

“Kementerian sentiasa bersedia memberikan geran kepada mereka yang ingin menulis,” katanya.