MATU: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu digalak memanfaatkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, langkah itu sebagai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan merealisasikan cita-cita masing-masing.
“Pelajar khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah diri,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi 2026 SMK Matu, semalam.
Sehubungan itu, Ahmad Johnie yakin pelajar SMK Matu berupaya melanjutkan pengajian hingga ke menara gading sekali gus membawa kebanggaan kepada keluarga, sekolah dan negeri Sarawak.
“Saya yakin anak-anak SMK Matu mampu melangkah jauh hingga ke menara gading, sekali gus mengharumkan nama sekolah, keluarga dan Sarawak,” katanya.
Majlis itu meraikan seramai 167 pelajar Tingkatan Lima serta lima murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang menamatkan persekolahan masing-masing.
Ahmad Johnie turut mengingatkan murid PPKI supaya tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus yakin terhadap kebolehan diri dan mengembangkan potensi masing-masing.
