GEDONG: Pelaksanaan Program Satu Pemimpin, Satu Kampung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak hanya tertumpu di Kampung Tengah Ulu Gedong, sebaliknya turut meliputi kawasan sekitar daerah Gedong dan Semuja.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari berkata, meskipun Kampung Tengah Ulu Gedong dipilih sebagai kampung angkatnya, pelbagai aktiviti dirancang turut memanfaatkan masyarakat di kawasan berhampiran.
“Walaupun Gedong dipilih sebagai kampung angkat ketua pengarah, kegiatan kami juga akan meliputi di sekitar daerah Gedong dan daerah Semuja,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Gerak Mula Program Satu Pemimpin, Satu Kampung yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini, hari ini.
Menurutnya, program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti keperluan sosioekonomi dan pembangunan masyarakat setempat melalui kerjasama kementerian, jabatan, agensi serta pihak berkepentingan.
Beliau berkata, antara inisiatif yang diberi perhatian termasuk pembangunan pendidikan, usaha membantu golongan yang berdepan kemiskinan serta pelaksanaan aktiviti untuk manfaat masyarakat, khususnya golongan muda.
Hazami menambah, program itu akan diteruskan sehingga persaraannya pada 2028, dengan perancangan aktiviti lebih tersusun, termasuk usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat Kampung Lubok Punggor.
