GEDONG: Sarawak bakal memperluaskan kepakaran tempatan dalam penyelidikan penyakit tropika dengan menghantar seorang lagi anak negeri melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di London.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuhkan keupayaan penyelidikan penyakit berjangkit dan pembangunan ubat-ubatan melalui pembangunan kepakaran anak Sarawak.
“Kerajaan negeri sebelum ini turut menghantar anak tempatan mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang perubatan dan pembangunan ubat-ubatan.
“Langkah ini bagi melahirkan tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada pembangunan sektor kesihatan negeri.
“Usaha itu akan diteruskan dengan penghantaran seorang lagi anak Sarawak ke London bagi mengikuti pengajian peringkat PhD dalam bidang berkaitan penyakit tropika,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika pada Majlis Perasmian Gerak Mula Program Satu Pemimpin, Satu Kampung di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini, hari ini.
Katanya, pembangunan kepakaran tempatan itu turut menyokong usaha kerajaan menjalakan penyelidikan kesihatan menerusi pembangunan pusat penyelidikan penyakit tropika di Samarahan.
Beliau menjelaskan, pusat berkenaan dilengkapi kemudahan makmal serta kepakaran saintifik bagi menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit.
Menurutnya, pembangunan pusat penyelidikan itu merupakan antara langkah yang diambil kerajaan negeri susulan pengalaman menghadapi pandemik Covid-19 bagi memperkukuhkan keupayaan penyelidikan penyakit berjangkit.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak kini mempunyai makmal penyelidikan bergerak yang boleh dimanfaatkan untuk memberikan panduan kepada masyarakat mengenai langkah mengawal penularan penyakit berjangkit.
“Kita memperuntukkan RM400 juta dari dana Sarawak sendiri untuk kita membangunkan pusat itu di Samarahan,” katanya.
