Kampung Jenan nikmati limpahan pembangunan

TEBEDU: Kampung Jenan bakal menikmati limpahan pembangunan infrastruktur secara menyeluruh menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, ia hasil peruntukan bernilai RM6.78 juta.

Katanya, pelaburan berskala besar ini komited meningkatkan kemudahan asas, melicinkan akses perhubungan, sekali gus melonjakkan kualiti hidup penduduk.

Beliau merincikan, sebanyak empat projek bawah peruntukan RTP berjumlah RM780,000 sedang dan telah dilaksanakan bagi menaik taraf infrastruktur komuniti.

Projek tersebut merangkumi naik taraf Gereja Anglican (RM300,000), penurapan jalan dalam kampung (RM180,000), serta naik taraf jalan pertanian dan Dewan Komuniti Kampung Jenan yang masing-masing menerima RM150,000.

Bagi pembangunan impak tinggi bawah GKCDA pula, peruntukan sebanyak RM6 juta diperuntukkan khas untuk menyelesaikan isu kemudahan asas utama dan ketiadaan akses perhubungan.

Ini melibatkan pembinaan Jalan Perhubungan Desa Jenan–Kakeng bernilai RM5 juta serta projek menaik taraf sistem bekalan air Kampung Jenan berjumlah RM1 juta.

“Kesemua projek ini dijangka memberi manfaat berterusan kepada penduduk, di samping menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkongsi maklumat mengenai projek-projek berkenaan ketika menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Biro Wanita Kampung Jenan di Dewan Komuniti Kampung Jenan, semalam.