KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 2,995 kes kanser baharu termasuk 476 kes kanser payudara pada 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ini menjadikan kanser payudara kekal sebagai antara cabaran kesihatan utama yang dihadapi wanita.
Katanya, antara kebimbangan utama ialah
kes yang hanya dikesan apabila penyakit berada pada peringkat lanjut.
“Oleh itu, saya menyaran wanita supaya mengenali keadaan normal payudara masing-masing dan peka terhadap sebarang perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Kempen Kesedaran Kanser Payudara “PinkOctober” di eMart Tabuan Jaya l, di sini, hari ini.
Fatimah menjelaskan perubahan itu seperti ketulan, perubahan bentuk atau saiz, perubahan
pada kulit atau puting, serta lelehan luar biasa daripada puting.
“Jangan tunggu sehingga berasa sakit atau sehingga gejala menjadi serius. Jika terdapat perubahan yang mencurigakan, dapatkan pemeriksaan profesional dengan segera,” katanya
Tambahnya, mereka juga perlu memastikan
mesej ini sampai kepada wanita di luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Katanya, di samping itu jarak, kos perjalanan, tanggungjawab keluarga atau rasa takut tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Selain itu, katanya dalam Belanjawan Sarawak
2027 dibentangkan Premier Sarawak baru-baru ini, sebanyak RM20 juta diperuntukkan tahun depan untuk pelaksanaan Pusat Kanser Sarawak dengan anggaran kos keseluruhan projek RM1.5 bilion.
