BALINGIAN: Keunikan persekitaran pekan yang menghijau, suasana kampung tradisional serta gabungan warisan dan pembangunan moden menjadikan Balingian berpotensi diketengahkan destinasi pelancongan sukan di Sarawak.
Penghulu Harbi Bakir berkata, kehadiran peserta dari luar Balingian dan Mukah pada Program Balingian Jalan Santai 2026 membuktikan kawasan itu mempunyai tarikan yang boleh dikembangkan bagi menarik ramai pengunjung.
Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, berkata demikian ketika berucap pada program sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Kecil Balingian di Tapak Bederun, di sini, hari ini.
Kewujudan pasar lama yang mencerminkan identiti pekan ini, di samping pembangunan moden dan persekitaran yang nyaman, boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan Balingian kepada pengunjung dari luar kawasan.
Harbi berkata, penganjuran aktiviti berjalan kaki secara santai bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
Malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan penduduk serta menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan dan karnival tempatan.
Sementara itu Pengarah Program, Mohd Helmi Zamil berkata, penganjuran kali keempat itu merekodkan penyertaan seramai 634 orang, jumlah tertinggi sejak program berkenaan diperkenalkan.
