KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpandangan keistimewaan sebagai wakil rakyat tidak boleh dijadikan lesen membuat tuduhan tanpa bukti kukuh serta mengelak dari dipertanggungjawabkan.
Pemuda dalam kenyataan berkata, walaupun kritikan membina, perbahasan bermakna serta peranan pembangkang bertanggungjawab merupakan elemen penting dalam amalan demokrasi sihat.
“Bagaimanapun, setiap tuduhan mestilah disokong dengan bukti yang sahih dan kebebasan bersuara perlu seiring dengan akauntabiliti,” menurut kenyataan pergerakan terbabit.
Pergerakan itu juga mengakui demokrasi memberikan hak kepada setiap wakil rakyat
bersuara, mengemukakan persoalan dan berbahas.
“Namun, hak tersebut hendaklah sentiasa dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, integriti serta menghormati peraturan yang mengawal institusi perundangan kita,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyatakan penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen, bukanlah bertujuan menyekat suara pembangkang atau menafikan hak demokrasi.
Sebaliknya, tindakan tersebut adalah bagi menegakkan Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak serta memastikan setiap wakil rakyat tertakluk kepada standard tatakelakuan yang sama.
Berikutan itu pergerakan terbabit kekal teguh mempertahankan martabat dan integriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Selain itu, mendukung prinsip tadbir urus yang baik, kestabilan politik serta kesinambungan agenda pembangunan Sarawak.
Selain itu, pihaknya mengakui rakyat Sarawak berhak mendapat kepimpinan bertanggungjawab, amalan politik matang serta kerajaan yang sentiasa utamakan kepentingan rakyat mengatasi retorik politik semata-mata.
“Marilah kita bersama-sama memberikan tumpuan kepada usaha membina Sarawak yang lebih kukuh, bersatu padu, maju dan makmur demi kesejahteraan seluruh rakyat,” tambahnya.
