Pembungkusan produk menarik mampu tembusi pasaran antarabangsa

SPAOH: Usahawan wanita di Bukit Saban disaran meningkatkan kualiti produk, memperkemaskan pembungkusan dan menguasai teknologi bagi membawa hasil tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, produk berkualiti perlu disokong persembahan menarik dan memenuhi kehendak pasaran semasa untuk kekal berdaya saing.

Menurutnya, latihan bersesuaian, bimbingan berterusan dan penggunaan teknologi penting bagi meningkatkan mutu serta nilai komersial produk usahawan tempatan.

“Usahawan bukan sahaja perlu menghasilkan produk berkualiti, tetapi memastikan pembungkusan dan persembahannya memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu diperkukuh menerusi latihan khusus mengikut keperluan sebenar pengusaha.

Beliau turut mendedahkan terdapat pengusaha dari Singapura yang berminat membeli reka bentuk tempatan dari Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada kreativiti anak tempatan menembusi pasaran luar negara.

Katanya, peluang itu perlu dimanfaatkan dengan memperkukuh kemahiran, motivasi dan keupayaan usahawan supaya perniagaan dapat berkembang secara mampan.

Dalam majlis sama, bantuan berjumlah RM1,062,576 disalurkan kepada 55 penerima, merangkumi pembiayaan perniagaan, geran pembangunan usahawan dan bantuan persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ahli Majlis MARA, Siti Hajar Yasin; Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA Malaysia, Datuk Ts. Ahmad Ibrahim; serta Residen Bahagian Betong, Datu Michael Abunawas.