LUNDU: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu menganjurkan taklimat menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) di Dewan Serbaguna Mahligai Gading di sini, semalam.
Program Taklimat Rumah 10 terbabit disertai seramai 86 peserta terdiri daripada anggota Pergerakan Wanita Parti PBB cawangan serta dua wakil dari setiap 32 ranting wanita.
Ini menjadi platform untuk memperkukuhkan kefahaman, menyelaraskan strategi serta meningkatkan kesiapsiagaan jentera wanita di setiap ranting dalam menghadapi PRN13.
Dalam program tersebut, Setiausaha Cawangan Tanjong Datu, Jamsari Ahmad menyampaikan taklimat berkaitan Perancangan Strategik Jentera Parti Menghadapi PRN13.
Ini dengan merujuk kepada scoresheet PRN12 sebagai panduan untuk menilai prestasi dan memperkukuh strategi gerak kerja parti.
Sementara itu, Setiausaha Wanita, Aniza Bentani menerangkan peranan dan tanggungjawab petugas Rumah 10 Wanita Parti PBB.
Ini termasuk perancangan gerak kerja bagi memastikan setiap petugas itu memahami tanggungjawab masing-masing dalam mendekati dan menyantuni masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Cawangan Tanjong Datu, Abd Razak Abd Wahab serta empat orang wakil daripada Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan N3 Tanjong Datu.
