KUCHING: Pengoperasian rintis bagi menguji sistem Transit Aliran Autonomi (ART) disasarkan bermula pada penghujung tahun ini di laluan fasa satu Garisan Biru dari Rembus ke Northbank.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, garisan biru itu kini mencapai kemajuan fizikal 88 peratus berbanding 97 peratus mengikut jadual asal.
Dua unit pertama ART berada di sini dengan dua unit lagi dijangka berada di sini pada penghujung tahun ini, katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada peringkat pengujian itu, kontraktor dan operator akan menilai prestasi, keselamatan dan kesediaan beroperasi sistem berkenaan di samping menangani masalah sebelum memulakan pengoperasian secara rasmi.
Garisan Biru dan Merah sedang giat dilaksanakan, manakala Garisan Hijau akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan pembinaannya dijadual bermula pada suku pertama 2027, katanya.
Menurut Lee, apabila siap kelak Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) itu akan menyediakan rangkaian pengangkutan awam bersepadu di bandar raya ini.
Sistem itu, tegas beliau, akan menyediakan pengangkutan pilihan mampan, mengelak kesesakan, mengurangkan perlepasan karbon dan menyokong matlamat Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu Sarawak.
Beliau juga memberitahu Dewan, penggunaan kenderaan elektrik di Sarawak yang kini semakin meningkat mencerminkan minat orang ramai dalam kelestrian mobiliti.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), katanya, daripada 56,452 kereta yang didaftarkan di Sarawak antara 2021 dan 2026, sebanyak 1,334 atau 2.36 peratus adalah kereta elektrik.
Setakat September 2026, katanya, sejumlah 215 pengecas AC dan DC kenderaan elektrik dipasang di seluruh negeri.
