KUCHING: Masyarakat peribumi dan komuniti perlu terlibat dalam memainkan peranan memulihara tradisi dan budaya warisan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana mereka memainkan peranan penting sebagai penjaga ilmu, tradisi dan amalan budaya yang menjadi asas kepada kelangsungan warisan hidup Sarawak.
“Penglibatan mereka bukan sekadar sebagai penerima manfaat, malah sebagai rakan strategik dalam memastikan khazanah budaya terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Perasmian Simposium Saintifik sempena Perhimpunan Agung Ke-22 dan Simposium Saintifik Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS GA2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, usaha pemuliharaan warisan itu juga tidak seharusnya tertumpu kepada bangunan dan monumen bersejarah semata-mata.
“Sebaliknya perlu merangkumi pengetahuan tradisional, amalan budaya, ingatan kolektif serta identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun,” tambahnya.
Sehubungan itu katanya, penganjuran ICOMOS GA2026 membuka ruang kepada Sarawak untuk berkongsi pengalaman dan menyumbang mpendekatan pemuliharaan warisan yang mampan.
Katanya, platform antarabangsa itu juga diharap memperkukuhkan pertukaran kepakaran, membina jaringan kerjasama serta membuka peluang kolaborasi dalam melindungi dan mewariskan khazanah budaya kepada generasi akan datang.
