KUCHING: Mahkamah Bumiputera Sarawak berdepan 15 kekosongan jawatan majistret di peringkat residen serta daerah.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai berkata, ini mendorong permohonan supaya tempoh kontrak pelantikan baharu dilanjutkan daripada satu tahun kepada tiga tahun.
“Ketika ini terdapat tujuh kekosongan jawatan di Mahkamah Bumiputera Residen dan lapan di Mahkamah Bumiputera Daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Katanya, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Negeri bagi mengenal pasti calon sesuai untuk mengisi kekosongan berkenaan.
“Bagaimanapun, tempoh kontrak setahun menjadi antara kekangan dalam usaha pengambilan, khususnya untuk menarik calon yang mempunyai kelayakan dalam bidang undang-undang serta pengalaman bersesuaian,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memohon supaya tempoh kontrak majistret baharu dilantik dilanjutkan kepada tiga tahun, dengan peluang pembaharuan kontrak tertakluk kepada prestasi yang memuaskan.
Katanya, langkah itu penting bagi menarik dan mengekalkan calon berkelayakan, selain menjamin kesinambungan perkhidmatan kehakiman serta meningkatkan keberkesanan pengurusan kes.
“Pada penghujung 2024, seramai lapan majistret Mahkamah Bumiputera Daerah menamatkan perkhidmatan selepas kontrak mereka tidak diperbaharui atas faktor usia atau kesihatan.
“Pada masa ini, Mahkamah Bumiputera Sarawak hanya mempunyai empat majistret di peringkat daerah, dua majistret di peringkat residen dan seorang Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 7,326 kes didaftarkan sejak 2020 hingga September tahun ini, dengan 4,961 kes atau 67 peratus berjaya diselesaikan di semua peringkat mahkamah.
Katanya, kes berkenaan merangkumi pelanggaran adat, kes sivil, permohonan pengiktirafan sebagai komuniti Bumiputera Sarawak dan kes rayuan.
