Penubuhan AIAC perkukuhkan Sarawak hab timbang tara serantau

KUCHING: Penubuhan cawangan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Sarawak dijangka memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab serantau bagi penyelesaian pertikaian komersial dan pelaburan antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar mewujudkan sebuah pejabat cawangan.

Sebaliknya, katanya turut menyediakan platform penyelesaian pertikaian bertaraf antarabangsa yang lebih mudah diakses oleh komuniti perniagaan dan pelabur.

“Kewujudan hab ini juga penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian penubuhan cawangan AIAC Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, penubuhan hab berkenaan turut memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang mempunyai sistem penyelesaian pertikaian yang dipercayai, cekap dan berkesan.

“Kehadiran AIAC berpotensi merancakkan aktiviti perniagaan serta menarik penyertaan syarikat antarabangsa untuk memanfaatkan kemudahan penyelesaian pertikaian yang disediakan,” ujarnya.

Jelasnya, hab berkenaan turut dijangka menyumbang kepada pembangunan kepakaran tempatan, khususnya dalam bidang perundangan, timbang tara dan perkhidmatan profesional.

Menurutnya, langkah itu sekali gus membuka ruang kepada Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam ekosistem perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Kerajaan Sarawak diwakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, manakala AIAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Danesh Chandran.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.