KUCHING: Projek menaik taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Stutong bernilai RM88.99 juta dijangka membantu mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya apabila siap pada Oktober 2028.
Majlis disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, hari ini.
Cawangan Komunikasi Korporat, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan, kerja naik taraf membabitkan Jalan Stutong Link sepanjang 3.311 kilometer (km) mengikut piawaian JKR U5, termasuk pelebaran jalan kepada laluan berkembar.
“Bulatan Stutong pula akan diubah menjadi persimpangan berlampu isyarat bagi melancarkan pergerakan kenderaan, selain pembinaan jambatan konkrit bertetulang baharu sepanjang 90 meter (m) merentasi Sungai Stutong.
“Skop projek turut merangkumi pembinaan sistem perparitan, pemasangan lampu jalan, penambahbaikan turapan, kerja pengalihan utiliti serta penyediaan laluan lencongan sementara bagi mengurus trafik sepanjang pembinaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, projek berkenaan dilaksanakan Ibraco Construction Sdn Bhd sebagai kontraktor, manakala Jurutera CSD Sdn Bhd dilantik sebagai perunding dengan tempoh kontrak selama 24 bulan, bermula 20 Oktober 2026 hingga 19 Oktober 2028.
“JKR Sarawak akan memantau pelaksanaan projek bagi memastikan kerja disiapkan mengikut jadual dan piawaian ditetapkan, selain memohon kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan trafik sementara sepanjang tempoh pembinaan,” jelasnya.
