Liputan bekalan air meningkat 86.1 peratus

KUCHING: Liputan bekalan air di seluruh negeri ini meningkat kepada 86.1 peratus berbanding 85.6 peratus pada tahun lalu, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Beliau berkata, manakala liputan kawasan luar bandar pula meningkat kepada 72 peratus.

Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk membina serta menaik taraf 32 loji rawatan air utama dan saluran grid paip sepanjang 2,934 kilometer (km) di seluruh Sarawak untuk mencapai liputan penuh, katanya semasa menggulung perbahasan bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pada persidangan DUN di sini hari ini.

Menurut Julaihi, setakat ini 10 loji dan 561 km saluran grid paip telah siap, manakala 22 loji dan 2,373 km saluran grid paip air sedang dan akan dilaksanakan.

Bagi memastikan keterjaminan bekalan air, katanya, Sarawak membangunkan sistem grid air yang menghubungkan Wilayah Selatan hingga ke Wilayah Utara selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.

Manakala, kawasan terpencil pula dibekalkan melalui Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS), katanya dan menambah, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM6.46 bilion di bawah RMKe-13 (RMK13) dan pembiayaan alternatif melibatkan keseluruhan projek bekalan air sebanyak 361 projek.

Setakat ini, beliau berkata, sebanyak 338 projek bekalan air telah siap dan dalam peringkat pembinaan dan bakinya dalam peringkat pra-pelaksanaan.

Bagi tahun 2026, katanya, sejumlah RM662.7 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek sambungan bekalan air di bawah RMK-13 dan pembiayaan alternatif.