KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan bantuan khas dalam bentuk diskaun sebanyak 25 peratus bagi bil elektrik domestik dan subsidi bekalan air percuma bernlai RM5 sebulan sehingga tahun 2027.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM281 juta untuk meneruskan bantuan khas diskaun 25 peratus bil elektrik dan RM35 juta untuk subsidi bekalan air percuma sehingga Disember 2027.
Bantuan khas diskaun 25 peratus bil elektrik yang memberi manfaat kepada 716,000 pengguna pada April hingga Disember 2026 adalah sebanyak RM188.1 juta, katanya semasa menggulung perbahasan bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pada persidangan DUN di sini hari ini.
Beliau berkata, ini bermakna jumlah diskaun yang diluluskan Kerajaan Sarawak adalah sebanyak RM469.1 juta sehingga penghujung 2027.
Kerajaan Sarawak yang prihatin terhadap masalah dan keperluan rakyat, katanya turut memberi subsidi bekalan air percuma bernlai RM5 sebulan bersamaan 11,300 liter air.
Sejak 2020 hingga Ogos 2026, beliau berkata, inisiatif ini melibatkan subsidi sebanyak RM210.4 juta.
Jika diunjurkan sehingga penghujung 2026, katanya, jumlah subsidi itu dianggarkan mencecah RM222.7 juta.
Subsidi RM5 yang diteruskan sehingga Disember 2027 dengan peruntukan sebanyak RM35 juta akan memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 pengguna domestik, katanya.
Subsidi itu, tegas beliau, mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengurangkan kos sara hidup agar kebajikan rakyat terus terpelihara.
