6,246 pelajar terima tawaran pendidikan tinggi percuma Sarawak

KUCHING: Seramai 6,246 pelajar menerima tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat 30 September lalu, melibatkan empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 2,802 pelajar.

Sementara itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) seramai 2,031, Curtin University Malaysia (949) dan Kolej Universiti i-CATS (464), ujarnya.

“Seramai 3,195 pelajar layak menerima elaun tahunan RM15,000 bagi menampung kos sara hidup dan penginapan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kajian kebolehlaksanaan penubuhan Fakulti Perubatan pertama milik penuh Kerajaan Sarawak di UTS selesai.

Bagaimanapun, ujarnya, pelaksanaannya masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Jelasnya, agensi berkenaan adalah Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Perubatan Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), selain penyediaan infrastruktur yang diperlukan.