KUCHING: Kolej Universiti i-CATS bakal dijenamakan semula selepas menerima pengiktirafan status universiti penuh secara rasmi untuk beroperasi, hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, nama baharu universiti itu akan diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kelak.
Menurutnya, kelulusan yang telah berkuat kuasa itu merupakan perkembangan penting dalam memperkukuhkan sektor pendidikan tinggi Sarawak.
“Penubuhan universiti penuh ini diharap dapat memperluaskan penawaran program akademik, khususnya bidang kejuruteraan dan teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan pengiktirafan kepada i-CATS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,di sini, hari ini
Kelulusan diserahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman kepada Naib Canselor i-CATS, Datuk Ts. Dr Mohamad Kadim Suaidi, disaksikan Premier Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut meluluskan penawaran program undang-undang di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memenuhi keperluan tenaga profesional perundangan.
