KUCHING: Program Pemimpin Pemimpin Bersama Rakyat Dalat yang menghimpunkan pemimpin masyarakat dan akar umbi akan diadakan pada 1 November ini di Kompleks Kebajikan Dalat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program tersebut bakal menjadi platform memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Menurutnya, program itu turut memberi ruang membincangkan usaha mempercepatkan pembangunan di kawasan DUN Dalat.
“Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dijangka menghadiri program tersebut di Kompleks Kebajikan Dalat.
“Kita berharap mendapat pandangan dan nasihat beliau mengenai kemajuan Dalat serta usaha mempergiatkan pembangunan kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi bergambar bersama rombongan Ketu Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.56 Dalat di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Awang Tengah bagi menjemput menghadiri program berkenaan.
Jelas Fatimah lagi, Awang Tengah mempunyai hubungan istimewa dengan Dalat kerana pernah memulakan perkhidmatan beliau di kawasan tersebut.
Dalam masa sama, beliau berkata, KMKK memainkan peranan penting sebagai penghubung kerajaan dengan rakyat terutama menyalurkan maklumat berkaitan kepada penduduk.
KMKK juga berperanan demi memastikan tiada penduduk yang layak dan memerlukan bantuan tercicir daripada menerima manfaat kerajaan, ujarnya.
