KUCHING: Sarawak merekodkan 3.52 juta ketibaan pelawat dari Januari hingga September 2026 dengan hasil pelancongan berjumlah RM9 bilion dalam tempoh sama.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sektor pelancongan negeri terus menunjukkan prestasi positif dengan hasil purata melebihi RM1 bilion sebulan.
“Pencapaian ini mencerminkan sumbangan besar sektor pelancongan kepada ekonomi Sarawak dengan jumlah hasil pelancongan mencecah RM12.67 bilion pada 2025, meningkat 1.75 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan DUN, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Brunei dan Indonesia kekal sebagai pasaran utama dengan menyumbang 46.5 peratus daripada jumlah ketibaan pelawat selain Singapura, Filipina dan Thailand.
“Kerajaan Sarawak memberi perhatian ekopelancongan, pelancongan sukan, kesihatan, pelancongan kapal persiaran serta acara perniagaan bagi menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya kementerian meluluskan RM46.43 juta bagi menyokong 346 acara, pesta dan program warisan serta industri kreatif sepanjang 10 bulan pertama 2026.
“Sarawak turut menerima manfaat daripada acara antarabangsa, termasuk Festival Muzik Dunia Hutan Hujan 2026 yang menarik lebih 22,000 pengunjung dan menjana kira-kira RM19.91 juta dalam limpahan ekonomi,” katanya.
