KUCHING: Program Sarawak Malaysia My Second Home (SMM2H) merekodkan 287 permohonan diluluskan melibatkan 490 peserta dari 31 negara bagi tempoh Januari hingga September 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program itu menjadi sebahagian daripada strategi menarik lebih ramai pelawat serta menjana nilai ekonomi kepada negeri.
“Program ini membolehkan Sarawak muncul sebagai destinasi pilihan untuk kediaman jangka panjang dengan menawarkan pengalaman pelancongan unik, kualiti hidup yang baik, kepelbagaian budaya dan persekitaran mesra,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan DUN, di sini, hari ini.
China katanya, mencatat jumlah permohonan diluluskan tertinggi sebanyak 118 permohonan atau 41.1 peratus daripada keseluruhan kelulusan diikuti Amerika Syarikat (28), Taiwan (19), United Kingdom (18), Australia dan Kanada masing-masing 13 permohonan.
Menurut beliau, permohonan yang diluluskan sehingga September turut menghasilkan RM143.5 juta dalam bentuk deposit tetap serta RM1.49 juta kutipan fi pemprosesan.
“Usaha promosi antarabangsa terus dilaksanakan termasuk penyertaan dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul dan Persidangan Industri Pelancongan Sedunia di Korea Selatan dari 4 hingga 6 Jun 2026,” tambahnya.
Program SMM2H terus menjadi antara pendekatan kementerian untuk menjadikan Sarawak destinasi kediaman jangka panjang di samping menawarkan pengalaman pelancongan dan kepelbagaian budaya kepada peserta dari pelbagai negara.
