Sarawak perlukan bangunan, kemudahan Mahkamah Tinggi setiap bahagian

KUCHING: Penyediaan bangunan dan kemudahan Mahkamah Tinggi di setiap bahagian di Sarawak perlu diberikan perhatian bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kehakiman, khususnya penduduk luar bandar dan pedalaman.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan berkenaan pernah dibangkitkan ketika menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Menurut Tun Dr Wan Junaidi, ia mengambil kira keluasan geografi Sarawak serta cabaran masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan mahkamah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak kehakiman mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak bagi mengenal pasti lokasi dan tanah strategik bersesuaian.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Dato Sri Azizah Nawawi di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Turut sama isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Tun Dr Wan Junaidi turut menekankan kepentingan menyediakan infrastruktur mahkamah yang moden, lengkap dan kondusif bagi memastikan prosiding kehakiman dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, teratur dan berkesan.

Selain itu katanya, aspek keselamatan serta kebajikan hakim turut diberikan perhatian, termasuk penyediaan laluan masuk dan keluar berasingan, kemudahan kediaman dan kenderaan rasmi yang bersesuaian.

Beliau turut berpandangan bahawa skim perkhidmatan dan umur persaraan hakim wajar diberikan pertimbangan khususnya mengambil kira pengalaman, kepakaran serta kepentingan menjamin kebebasan institusi kehakiman.

Dalam masa sama, beliau menyarankan agar Persatuan Peguam Bela Sarawak memperluas perwakilan dengan melibatkan ahli dari setiap bahagian bagi memastikan kepentingan pengamal undang-undang di seluruh negeri dapat diketengahkan secara lebih menyeluruh.

Kunjungan hormat itu antara lain bertujuan menyampaikan watikah persilaan rasmi kepada Tun Dr Wan Junaidi dan Toh Puan bagi menghadiri serta menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala sempena The Opening of the Legal Year Sabah and Sarawak 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2027.

Pertemuan tersebut turut memberi peluang kepada Azizah memperkenalkan barisan hakim serta anggota delegasi yang hadir, selain bertukar pandangan mengenai perkembangan dan usaha memperkukuh sistem kehakiman di Sarawak.

Sementara itu, Azizah turut berkongsi perkembangan pembangunan infrastruktur kehakiman, termasuk perancangan mewujudkan sebuah mahkamah khas bagi mengendalikan kes jenayah serta empat mahkamah bagi kes sivil. — UKAS