KUCHING: Seramai 106 pekebun kecil sawit bebas diluluskan pembiayaan berjumlah RM5.6 juta menerusi Skim Insentif Pembiayaan Penanaman Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) setakat September lalu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, skim itu diwujudkan bagi membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok sawit lama dan tidak produktif.
“TSPKS 2.0 menyediakan kemudahan pembiayaan bagi membantu pekebun kecil sawit bebas menjalankan aktiviti penanaman semula serta mengurangkan beban kewangan untuk menggantikan pokok sawit lama dan tidak produktif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan DUN, di sini, hari ini.
Pelaksanaan skim itu melibatkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebagai agensi pelaksana dan Agrobank sebagai institusi pembiayaan dengan peruntukan dana khusus sebanyak RM200 juta.
“Setakat September lalu, seramai 106 pekebun kecil sawit bebas telah diluluskan pembiayaan sejak 2024 melibatkan kawasan tanaman sawit lama dan tidak produktif seluas 311 hektar dengan jumlah pembiayaan RM5.6 juta,” tambahnya.
Skim berkenaan memberi tumpuan kepada pekebun kecil sawit bebas yang memerlukan pembiayaan untuk menggantikan pokok lama dan tidak produktif melalui aktiviti penanaman semula.
Katanya, Inisiatif itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban kewangan pekebun kecil dalam menjalankan penanaman semula dengan pembiayaan disalurkan melalui kerjasama MPOB dan Agrobank.
